Assalamualaikum,
Fuhh, perang apa ni? Tak pernah baca pun dalam buku Sejarah. Mestilah, ni bahana game Mount & Blade aku tu lah. Dalam entri yang lepas, Tun Muhammad Farid diarahkan untuk bertahan di Ratchaburi dari serangan tentera Ayutthaya. Walaupun musuh menyerang dengan kekuatan tiga kali ganda, tentera Johor berjaya bertahan. Akhirnya, satu lagi perjanjian damai dimeterai diantara dua kuasa besar Suvarnabhumi ni pada April 1543.
Jun 1543 - Tun Muhammad Farid berangkat pulang ke Melaka untuk bertemu keluarganya disana. Setelah sebulan berehat di Kota Melaka disamping menguruskan hal ehwal negeri, beliau kemudiannya bertemu Sultan Alauddin Riayat Syah di Johor Lama bagi menuntut janji pengembalian kuasa memerintah negeri Melaka sebagai sebuah negeri yang bebas. Pada masa yang sama, beliau juga menghantar sepuluh panglimanya keserata Suvarnabhumi untuk mendapat sokongan raja-raja kerajaan lain bagi mengiktiraf kedaulatan kerajaan baru yang akan dikembalikan kelak. Janji dikotakan melalui Perjanjian Johor - Melaka 1543 dan beliau dimasyhurkan sebagai Sultan Muhammad Farid of Malacca Sultanate.
Merupakan Sultan yang aktif melawat rakyat untuk memahami hidup mereka, pelbagai polisi digubal. Kampung-kampung dibangunkan dengan infrastruktur ekonomi baharu, universiti ditubuhkan di Kota Melaka, permodenan angkatan tentera, jawatan kerajaan dibahagi samarata dan sebuah kor tentera Portugis ditempatkan di Kota A-Famosa yang bertindak sebagai tentera simpanan sekiranya pembelotan berlaku.
Kesultanan Melayu Melaka yang dipulihkan diawal penubuhannya dengan Kota Melaka sebagai ibu negeri, A-Famosa pusat ketenteraan dan sembilan buah kampung kecil.
Adapun kebebasan itu tidak lama apabila Sultan Alauddin mencabuli perjanjian dan menyerang Naning pada November 1545 pada ulang tahun kedua penubuhan Kesultanan Melayu Melaka dan menjarah kampung-kampung di sekitar Kota Melaka.
Seterusnya, pengepungan Kota Melaka bermula. Tentera Kesultanan Melaka berjaya bertahan selama hampir tiga bulan, menepis segala serangan yang dilemparkan Sultan Johor. Akan tetapi seperti yang dijangka, ada pembelot dikalangan panglima tentera Melaka yang membuka pintu kota pada senja Disember 1545.
Melalui terowong rahsia yang dibina dari Istana merentasi Kota A-Famosa yang membawa ke Pulau Melaka, Sultan Muhammad Farid terpaksa berundur ke Sumatera menyeberangi Selat Melaka bersama keluarga, kor tentera Portugis dan sebilangan kecil tentera diRaja yang setia
Rombongan ini kemudiannya tiba di Serdang, Sumatera dan dibenarkan untuk membina sebuah kubu pertahanan oleh Sultan Serdang.
Dari kota kecil ini, Sultan Muhammad Farid merangka serangan balas keatas Kesultanan Johor. Perkhabaran kejatuhan Melaka diterima duka oleh kebanyakkan raja-raja lain yang mengesahkan kedaulatannya.
Satu tahun berlalu, Johor sekali lagi diserang Ayutthaya. Mengambil peluang keemasan, kor Portugis Kesultanan Melaka diketuai Sultan Muhammad Farid menawan semula Melaka kemudiannya bergerak ke Selatan dan berjaya merampas Johor Lama.
Ternyata kor Portugis yang lengkap dengan senapang dan meriam bukanlah tandingan tentera Johor yang majoritinya masih menggunakan senjata primitif. Sultan Muhammad Farid melantik sepuluh panglima setianya sebagai Lord of Malacca Sultanate. Dengan pemasyhuran ini, beliau berjaya menambah beberapa kor tentera Melaka yang dipimpin secara autonomi dibawah kuasa Ketua Tentera, Tun Sema.
Sultan Muhammad Farid mengetuai serangan di Pantai Barat berjaya menawan Perak dari Sultan Muzaffar Syah. Tun Tipsuda mengalahkan Tun Sulaiman dan merampas Tanah Abang, manakala Tribune Alfonso Lopez (Wizurai Portugis di Melaka) tanpa tentangan sengit mengambil Kota Lama Kanan pada Februari 1547. Di Pantai Timur, angkatan Tun Sema menerima tentangan sengit dari Sultan Zainal Abidin tetapi taktik serangan hendap yang digunapakai membuahkan hasil dengan kejatuhan Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.
Tentera Johor yang berperang menentang Melaka dan Ayutthaya dari dua arah kemudiannya ditolak sehinggalah ke dua kubu terakhir mereka di Kota Kuala Kedah dan Pattani.
Kejatuhan Kota Kuala Kedah pada April 1547. Dengan kemangkatan Sultan Alauddin ditangan Raja Chairachattirat ketika cuba melarikan diri ke Ligor. Akhirnya pada Mei 1547, Sultan Mahmud Syah II menyerah kalah sekaligus menamatkan Perang Johor - Melaka. Maka berlalulah sebuah episod duka perang saudara yang berlaku di Tanah Melayu ketika itu. Saki baki bangsawan Kesultanan Johor memilih untuk mendapatkan suaka politik terutamanya ke Kerajaan Taungoo yang tidak mengiktiraf kedaulatan Melaka. Kota/bandar yang ditawan diagihkan secara samarata kepada Lord of Malacca yang terlibat didalam serangan, manakala kampung-kampung disekitarnya diberi kepada bangsawan Johor yang menyerah diri secara aman untuk diuruskan.
Kemuncak kekuasaan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1546 dari Johor Lama sehingga ke Pattani.
Walaupun ini adalah sebuah kisah rekaan. Semoga tiada lagi perang sesama bangsa seperti ini kelak. Ada banyak tauladan yang kita dapat pelajari, janji mestilah sentiasa ditepati. Janganlah kita belot dan mengamalkan sikap tikam belakang dan terakhir sekali, kita mestilah sentiasa bersedia memaafkan kesilapan lampau dan tidak menyimpan dendam. Kerana dendam itu barangkali akan membawa kepada kejatuhan kita sendiri.
No comments:
Post a Comment